Terma-terma dan Syarat-syarat serta Kod Tingkahlaku Pemandu Lalamove

TERMA-TERMA DAN SYARAT-SYARAT

PENTING – Sila baca terma-terma ini dengan teliti. Melalui penggunaan Perkhidmatan ini, anda setuju bahawa anda telah membaca, memahami, menerima dan bersetuju dengan Terma-terma dan Syarat-syarat, syarat-syarat yang dinyatakan dalam Borang Pendaftaran Pemandu dan Kod Tingkahlaku Pemandu. Anda selanjutnya bersetuju dengan representasi yang dibuat oleh anda di bawah. Jika anda tidak bersetuju atau terletak di dalam Terma-terma dan Syarat-syarat Perkhidmatan (seperti didefinisikan di bawah) dan ingin memberhentikan penggunaan Perkhidmatan tersebut, sila jangan meneruskan penggunaan Aplikasi atau Perkhidmatan ini.

Terma-terma dan Syarat-syarat yang dinyatakan di sini (secara kolektif, “Terma-terma dan Syarat-syarat” tersebut atau “Perjanjian” ini) membentuk suatu perjanjian di sisi undang-undang antara anda dan LALAMOVE MALAYSIA SDN BHD (No. Syarikat. 1277201-W) (“Syarikat”). Untuk menggunakan Perkhidmatan tersebut (seperti yang didefinisikan di bawah) anda mesti bersetuju dengan Terma-terma dan Syarat-syarat yang dinyatakan di bawah. Dengan menggunakan aplikasi mudah alih yang dibekalkan kepada anda oleh Syarikat (“Aplikasi”), dan memuat turun, memasang atau mengguna sebarang perisian yang berkaitan yang dibekalkan oleh Syarikat tersebut (“Perisian” tersebut) di mana tujuan keseluruhannya adalah untuk membolehkan orang yang mencari perkhidmatan pengangkutan ke destinasi tertentu untuk dipadankan dengan pembekal-pembekal pengangkutan, pemandu-pemandu dan pengendali-pengendali kenderaan pihak ketiga (secara kolektif, “Perkhidmatan”), anda dengan ini mengakui dengan jelas dan bersetuju untuk diikat kepada Terma-terma dan Syarat-syarat, dan sebarang pindaan serta tambahan kepada Terma-terma dan Syarat-syarat pada masa hadapan seperti yang diterbitkan dari semasa ke semasa di http://www.lalamove.com (http://www.lalamove.com) atau melalui Aplikasi tersebut.

SYARIKAT MERUPAKAN SEBUAH SYARIKAT TEKNOLOGI YANG TIDAK MEMBEKAL ATAU TERLIBAT DALAM PERKHIDMATAN LOGISTIK DAN SYARIKAT BUKAN PEMBEKAL LOGISTIK. PERISIAN TERSEBUT DAN APLIKASI TERSEBUT ADALAH BERTUJUAN UNTUK MEMUDAHKAN ANDA (SEBAGAI PEMBEKAL LOGISTIK) UNTUK MENAWARKAN PERKHIDMATAN LOGISTIK ANDA KEPADA KLIEN ATAU PELANGGAN ANDA. SYARIKAT TIDAK BERTANGGUNGJAWAB ATAS TINDAKAN DAN/ATAU PENINGGALAN ANDA ATAS SEBARANG PERKHIDMATAN YANG DIBEKALKAN OLEH ANDA KEPADA PENUMPANG ANDA, DAN ATAS SEBARANG TINDAKAN MENYALAHI UNDANG-UNDANG YANG DILAKUKAN OLEH ANDA. ANDA HENDAKLAH, PADA SETIAP MASA, TIDAK DAKWA ATAU MENYEBABKAN SESIAPA UNTUK MENYALAHFAHAMKAN BAHAWA ANDA MERUPAKAN EJEN, PEKERJA ATAU KAKITANGAN SYARIKAT, DAN PERKHIDMATAN YANG ANDA BEKALKAN BUKAN, DALAM APA-APA CARA, DIANGGAP SEBAGAI PERKHDMATAN SYARIKAT.

 

1. TERMA-TERMA PEMBAYARAN

Sebarang yuran/fi yang dicaj kepada anda oleh Syarikat bagi Perkhidmatan perlu dijelaskan dengan segera dan tidak akan dikembalikan (“Fi Perkhidmatan”). Polisi tiada bayaran balik ini hendaklah terpakai pada setiap masa tanpa mengira keputusan anda untuk menamatkan penggunaan anda, keputusan kami untuk menamatkan atau menggantungkan penggunaan anda, gangguan kepada Perkhidmatan tersebut sama ada terancang, tidak sengaja atau sengaja, atau apa jua alasan.

ANDA MENGAKUI BAHAWA JUMLAH TAMBANG YANG DIBAYAR OLEH PELANGGAN KEPADA ANDA TERMASUK FI PERKHIDMATAN, YANG ANDA MENGUTIP BAGI PIHAK SYARIKAT. FI PERKHIDMATAN TERSEBUT BOLEH DIKIRA SEHINGGA 21.5% ATAS TAMBANG YANG DINYATAKAN UNTUK PERKHIDMATAN TERSEBUT BAGI SETIAP PESANAN YANG DISELESAIKAN, YANG DITETAPKAN OLEH SYARIKAT MENGIKUT BUDI BICARANYA DARI SEMASA KE SEMASA.

Syarikat boleh mengikut budi bicaranya, membuat tawaran-tawaran promosi dengan ciri-ciri yang berbeza dan kadaran yang berbeza kepada mana-mana pelanggan di mana tawaran-tawaran promosi ini hendaklah dipatuhi oleh anda. Syarikat boleh menentukan atau menukar Fi Perkhidmatan tersebut seperti mana Syarikat menganggap dalam budi bicaranya sebagai perlu atau sesuai untuk perniagaan.

Pembayaran oleh Pelanggan

Pelanggan tersebut boleh memilih untuk membayar untuk Perkhidmatan tersebut melalui wang tunai dan di mana ada, melalui kredit (“Dibayar oleh Lalamove”). Sekiranya Pelanggan tersebut memilih untuk membayar untuk Perkhidmatan tersebut melalui Dibayar oleh Lalamove, semua pembayaran yang perlu dibayar kepada anda untuk Perkhidmatan tersebut akan disalurkan kepada anda dalam kuantum yang dipersetujui.

Sebarang aduan oleh Pelanggan mengenai pengangkutan yang dibekalkan oleh anda hendaklah diselesaikan oleh Pelanggan dengan anda secara langsung.

Syarikat mengekalkan haknya untuk menggantung pemprosesan sebarang transaksi di mana Syarikat secara munasabah percaya bahawa transaksi tersebut adalah penipuan, salah di sisi undang-undang, atau melibatkan sebarang aktiviti jenayah atau di mana Syarikat secara munasabah percaya bahawa Pelanggan telah memungkirkan Terma-terma dan Syarat-syarat antara Pelanggan tersebut dan Syarikat. Dalam kejadian seperti itu, anda tidak boleh pertanggungjawabkan syarikat atas penahanan, kelewatan, penggantungan atau pembatalan sebarang pembayaran kepada anda.

Anda bersetuju bahawa anda akan bekerjasama dengan sebarang penyiasatan jenayah yang diperlukan dan membantu Syarikat dalam mematuhi sebarang penyiasatan dalaman, arahan-arahan daripada pihak berkuasa atau keperluan undang-undang atau peraturan-peraturan semasa.

 

2. PEMATUHAN DENGAN SEMUA UNDANG-UNDANG, PERATURAN-PERATURAN, POLISI-POLISI DAN GARIS PANDUAN

Anda hendaklah mematuhi semua undang-undang trafik, peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, polisi-polisi dan garis panduan serta Kod ini dan sebarang garis panduan lanjut yang mungkin dikeluarkan oleh Lalamove (“Syarikat”) dari semasa ke semasa.

Anda dilarang daripada mengambil bahagian dalam sebarang demonstrasi yang salah di sisi undang-undang terhadap Syarikat, menjadi ahli kepada persatuan yang tidak berdaftar, menghasut pemandu-pemandu lain untuk tidak mengguna aplikasi Lalamove (“App”), boikot atau mengancam untuk boikot App tersebut atau sebarang perbuatan lain yang boleh ditafsirkan sebagai bertentangan dengan kepentingan Syarikat.

Anda bersetuju untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang mungkin merosakkan atau merendahkan reputasi Syarikat dan/atau menyebabkan gangguan kepada operasi Syarikat atau berpakat dengan pemandu-pemandu lain atau mana-mana pihak ketiga dengan niat untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang tersebut.

Anda dilarang sama sekali daripada melakukan perbuatan-perbuatan dengan niat untuk menipu atau melakukan frod terhadap Syarikat sama ada atau tidak melalui sebarang ‘Promo Code’ yang mungkin menyebabkan Syarikat mengalami kerugian.

Syarikat mengekalkan polisi tiada toleransi mengenai semua pelanggaran dan boleh mengakibatkan penggantungan atau penamatan akses pengguna kepada platform Lalamove.

 

3. PERKHIDMATAN PROFESIONAL DAN BERKUALITI

Anda hendaklah membekalkan perkhidmatan penghantaran yang profesional kepada semua pengguna dan memastikan bahawa semua bungkusan / barang-barang adalah dihantar dalam keadaan yang terbaik mungkin.

Anda hendaklah membekalkan pengangkutan yang selamat bagi semua barang-barang atau pelanggan-pelanggan. Keselamatan barang-barang atau pelanggan-pelanggan dan pemandu-pemandu dalam platform Lalamove adalah keutamaan kami.

Syarikat tidak membenarkan sebarang penggunaan dadah atau alkohol oleh pemandu-pemandu ketika menggunakan App tersebut. Ini adalah bertentangan dengan undang-undang dan merupakan pelanggaran yang serius terhadap polisi keselamatan Syarikat. Tambahan lagi, bahan-bahan yang haram dan bekas terbuka yang mengandungi alkohol tidak dibenarkan dalam kenderaan-kenderaan pemandu-pemandu. Jika seorang pengguna mempercayai bahawa seorang pemandu mungkin di bawah pengaruh dadah atau alkohol, pengguna tersebut mempunyai hak untuk menolak penghantaran dan melaporkan melalui info.kl@lalamove.com .

Keselamatan peribadi anda adalah keutamaan Lalamove dan jika terdapat sebarang permintaan perkhidmatan yang mencurigakan, sila menghubungi kami dengan segera di info.kl@lalamove.com .

Anda dilarang memiliki atau menyimpan sebarang jenis atau deskripsi senjata dalam kenderaan anda atau pada diri anda untuk apa jua alasan.

Syarikat memandang serius terhadap pemanduan secara cuai yang membahayakan barang-barang atas kenderaan, penumpang-penumpang dan/atau pengguna-pengguna jalan yang lain dan ini merangkumi:-

  • Memandu melawan arah
  • Kegagalan untuk mematuhi had laju
  • Kegagalan untuk menepati lampu isyarat
  • Penggunaan telefon bimbit anda tanpa sebarang kit bebas tangan semasa memandu
  • Kegagalan menggunakan isyarat penunjuk sebelum menukar atau membelok ke dalam persimpangan jalan
  • Melanggar sebarang undang-undang trafik lain

Anda bertanggungjawab untuk menjaga dan mengekalkan kenderaan anda dalam keadaan operasi yang baik, menurut standard keselamatan industri. Pemandu-pemandu juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan fizikal secara berkala seperti yang dimandat atau disarankan oleh peraturan-peraturan tempatan atau apabila diarahkan oleh Syarikat.

Anda hendaklah sentiasa berpakaian secara teratur dan sopan dan menunjukkan tingkahlaku yang baik dan juga berkomunikasi dengan pengguna-pengguna anda dan/atau penghantar-penghantar dan/atau penerima-penerima dengan sopan.

Anda hendaklah sentiasa mengendalikan sebarang barang-barang / bungkusan secara berhati-hati termasuk sebelum, semasa, dan selepas penghantaran sehingga ia diterima oleh pengguna.

Anda dilarang memandu tanpa sebarang lesen yang sah, polisi insurans dan/atau lesen perniagaan atau permit yang diperlukan untuk membekalkan pengangkutan untuk disewa.

Elakkan keganasan dan kelakuan agresif pada setiap masa. Dengan keselamatan sebagai keutamaan Syarikat, Syarikat tidak akan memaafkan sebarang bentuk keganasan atau tindakan agresif. Pemandu-pemandu tidak boleh menunjukkan kelakuan agresif, termasuk terlibat dalam pertikaian lisan dengan pengguna-pengguna dan/atau penghantar barang dan/atau penerima barang, menggunakan perkataan yang tidak beradab atau sindiran atau membuat ugutan atau pukulan fizikal dengan pengguna dan/atau penghantar barang dan/atau penerima barang. Sekiranya berlaku keadaan yang tidak dapat dikawal, jangan menyelesaikan perkara secara sendiri atau meningkatkan ketegangan (i.e. mengganggu atau membuat ugutan sama ada perjalanan tersebut sedang dijalankan atau telah selesai). Sentiasa memilih untuk membuat laporan kes kepada Syarikat secepat mungkin. Kami berhasrat untuk membantu semua pihak dengan saksama dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelesaikan sebarang pertikaian.

Sebagai pembekal perkhidmatan, anda digalakkan untuk memberi bantuan dengan pemuatan dan pemunggahan barang-barang / bungkusan sejauh mana kesihatan peribadi dan keselamatan anda tidak dikompromi.

Sebagai pembekal perkhidmatan, anda digalakkan untuk memberi bantuan kepada pengguna dan/atau penerima dan/atau penghantar kurang upaya terutamanya semasa pemuatan atau pemunggahan item-item dari kenderaan anda.

Anda hendaklah menyetujui kepada permintaan yang munasabah daripada pengguna anda dan/atau penerima dan/atau penghantar, seperti menyusun semula item-item dalam kereta anda.

Jangan memindah suatu kerja kepada pemandu-pemandu lain. Jika anda tidak dapat mengambil pesanan kerana berlaku kecemasan, sila hubungi Customer Support (“CS”) dengan segera. Anda digalakkan untuk tidak membatal pesanan kecuali dalam keadaan kecemasan.

Anda tidak dibenarkan untuk menolak daripada membekalkan perkhidmatan atas dasar kaum, agama, kewarganegaraan, kurang keupayaan, orientasi seksual, jantina, status perkahwinan, identiti jantina, umur atau sebarang ciri-ciri lain yang dilindungi di bawah undang-undang. Kelakuan sedemikian boleh mengakibatkan penamatan akses pengguna kepada platform Lalamove. Pelanggaran ini akan mengakibatkan hukuman berat menurut polisi-polisi berkaitan.

Jangan menetapkan tambang anda sendiri (e.g. caj setiap perjalanan) kerana ini boleh disifatkan sebagai caj secara berlebihan. Pungut tambang yang betul menurut harga yang disetujui dan caj-caj lain yang ditetapkan oleh syarikat-syarikat anda yang berkenaan, atau platform tersebut.

Jangan pujuk rayu pengguna dan/atau penerima dan/atau penghantar untuk membuat penghantaran peribadi atau tambahan.

Jangan mengesyorkan logistik atas permintaan / apps penghantaran lain kepada pengguna dan/atau penerima dan/atau penghantar. Amalan ini adalah tidak profesional kepada pengguna-pengguna.

 

4. PROSEDUR KECEMASAN

Hantar segala maklumat kecemasan kepada Syarikat dengan segera. Kami ingin membantu dalam semua perkara. Jika pada bila-bila masa anda merasakan bahawa anda menghadapi keadaan yang memerlukan perhatian kecemasan secara segera, sila menghubungi nombor perkhidmatan kecemasan di kawasan anda. Setelah semua pihak selamat dan keadaan telah dikendalikan oleh pihak berkuasa, sila memaklumkan Syarikat. Kami akan membantu dan mengambil tindakan yang sewajarnya seperti yang diperlukan, termasuk bekerjasama dengan penguatkuasa undang-undang.

 

5. LATIHAN BERTERUSAN DAN KEMAJUAN

Sila terima maklum balas dan latihan yang lanjut. Kami berkomited kepada kemajuan standard perkhidmatan yang berterusan.

Kami menggunakan sistem maklum balas pengguna dan pemandu secara dua hala, dan juga sistem audit pengguna misteri. Kami juga menguatkuasakan penilaian berterusan atas kesesuaian dan prestasi pemandu, dan maklum balas dengan sewajarnya. Dalam kebanyakan kes, kami berhasrat untuk bekerjasama dengan pemandu melalui sesi-sesi maklum balas, acara latihan, bengkel, audit dan lain-lain. Keputusan daripada usaha-usaha ini bergantung kepada penerimaan oleh pemandu.

 

************************************

Dengan pengakuan ini, saya menyatakan bahawa:

Saya memahami semua klausa yang dinyatakan dalam Kod Tingkahlaku Pemandu dengan penuh (bertarikh 18 April 2019).

Saya bertanggungjawab secara tunggal bagi sebarang dan semua liabiliti, yang diakibatkan atau yang didakwa sebagai akibat operasi kenderaan bermotor/ kenderaan barang-barang dan/atau perkhidmatan penghantaran barang/bungkusan saya, termasuk, tetapi tidak terhad kepada kecederaan peribadi, kematian dan kerosakan harta.

Saya juga menanggung bersalah atas kerugian yang dialami oleh Syarikat jika saya didapati menyangkal sebarang klausa-klausa dalam Kod Tingkahlaku Pemandu.

Saya memahami dan bersetuju bahawa Syarikat mempunyai hak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap saya, termasuk penggantungan dan penamatan akses saya kepada aplikasi Lalamove di mana saya melanggar mana-mana klausa-klausa dalam Kod Tingkahlaku Pemandu ini (bertarikh 18 April 2019).

************************************

 

Polisi Penalti Penunggang(Rider)/Pemandu Lalamove*

Polisi penalti ini adalah terpakai ke atas semua penunggang(rider) dan pemandu Lalamove yang melaksanakan pesanan menggunakan platform Lalamove. Tujuan polisi ini bukan untuk menghukum penunggang(rider) atau pemandu secara tidak perlu, tetapi untuk memastikan bahawa semua pihak mendapat pengalaman yang baik.

 

1. Pembatalan

Pesanan Berjadual (Scheduled Orders): Pemandu yang membatal pesanan <3 jam sebelum suatu pesanan berjadual akan digantung selama 3 hari.

Pesanan Atas Permintaan (On-Demand Orders): Pemandu yang membatalkan pesanan atas permintaan akan diberi 3 pangkah (3 strikes) bagi setiap 50 pesanan yang diterima. Selepas pangkah (strike) ketiga pemandu tersebut akan digantung selama 3 hari.

 

2. Ketidakhadiran

Pemandu-pemandu yang tidak hadir tanpa memaklumkan Perkhidmatan Pelanggan akan digantung dengan segera selama tempoh 5 hari.

 

3. Barang-barang Rosak

Barang-barang rosak akan diperiksa atas dasar case to case. Sekiranya barang yang dirosakkan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu dan kecuaian secara sengaja, maksimum sebanyak 50% jumlah tambang akan diambil daripada tambang untuk subsidi kos kerugian.

 

4. Item Dicuri

Laporan polis akan difailkan dan pemandu-pemandu akan diharamkan. Sebarang baki tunai dalam dompet Lalamove pemandu akan dirampas. Tiada toleransi bagi barang-barang yang dicuri.

 

5. Pengambilan Lewat bagi Pesanan Berjadual (Scheduled Orders)

Sebarang pesanan berjadual yang lewat lebih daripada 30 minit mesti dilaporkan kepada Customer Support (CS). Pemandu yang lewat untuk menghantar barang-barang tanpa memaklumkan CS akan digantung selama 1 hari.

 

6. Ketidakhadiran Pelanggan

Penghantaran yang gagal disebabkan oleh kesilapan pelanggan mesti dilaporkan kepada CS dengan segera. CS akan memastikan anda mendapat pembayaran dan pada masa yang sama, memastikan pelanggan sedar bahawa pesanan telah dihantar. Kegagalan untuk memaklumkan CS boleh menyebabkan penggantungan.

*Lalamove Gold Drivers diberi keistimewaan khas berkaitan dengan polisi penalti dan boleh meminta semakan yang lebih luas. Lalamove berhak untuk membuat pindaan kepada polisi-polisi ini tanpa sebarang notis.

No 2-1, Jalan Jalil 1, The Earth Bukit Jalil, Lebuhraya Bukit Jalil, Sungai Besi, 57000 Kuala Lumpur.