5 Cara Memindahkan Perabot Pelanggan Dengan Mudah & Selamat
Jika anda seorang rakan penghantar, anda mesti faham yang proses mengangkat dan memindahkan perabot berat pelanggan sememangnya mencabar.
Bukan sahaja servis ini memerlukan fizikal yang kuat, anda juga perlu menjaga barangan pelanggan dengan lebih berhati-hati!
Kami ada lima tips untuk anda mengangkat dan memindahkan perabot berat dengan penjagaan yang lebih baik. Barulah pinggang anda selamat dan dapat rating 5 bintang dari pelanggan!
1. Angkat Barang Dengan Teknik Yang Betul
Bila anda mengangkat barang berat, anda perlu menggunakan teknik mengangkat yang betul untuk mengelakkan kecederaan. Pastikan anda mengangkat barang dengan menggunakan kaki dan bukannya belakang anda.
Selain itu, jangan bongkokkan belakang anda semasa mengangkat barang tersebut.
Anda juga dinasihatkan untuk merapatkan barang dengan badan anda. Jika badan anda jauh dari barang yang diangkat, ia akan terasa lebih berat!
2. Gunakan Peralatan
Peralatan seperti troli atau tali angkat barang boleh membantu anda untuk membawa barang berat seperti almari, mesin basuh dan sofa dengan lebih mudah. Bukan sahaja barang lebih mudah untuk dipindahkan, peralatan juga membantu untuk mengurangkan risiko kerosakan.
3. Lindungi Perabot
Lindungi perabot pelanggan apabila anda mengangkat dan memindahkannya ke dalam dan luar kenderaan. Gunakan pelapik, kain atau plastik untuk membalut perabot dan ikat dengan baik dalam kenderaan anda untuk mengelakkan ia bergerak semasa dalam perjalanan.
4. Berkomunikasi Dengan Pelanggan
Ini adalah point yang sangat penting dan ramai mungkin akan terlepas!
Sebelum menerima job memindah rumah, pastikan anda menghubungi pelanggan untuk memastikan maklumat penghantaran atau sebarang arahan istimewa.
Contohnya, adakah pelanggan membenarkan anda baringkan perabot mereka? Adakah mereka mempunyai kaedah tertentu untuk menjaga perabot mereka?
Bila komunikasi antara pelanggan lancar, proses memindahkan barang mereka juga menjadi lebih mudah.
5. Ambil Masa
Membawa dan memindahkan perabot berat mempunyai risiko tinggi untuk kerosakan berlaku. Pastikan anda ambil masa dan pindahkan barang dengan perlahan dan berhati-hati bagi memastikan semua barang dipindahkan dengan baik.
Biar lambat, asal selamat, kan?
Ikuti Tips Kami, Pelanggan Mesti Puas Hati, Anda Pun Selamat!
Dengan mengikuti tips-tips ini, anda boleh memastikan barang berat pelanggan boleh dipindahkan dengan baik, mengurangkan risiko kerosakan dan yang penting pelanggan pun mesti seronok barangan mereka dipindahkan ke rumah baru dengan selamat.