Terma Perkhidmatan Pembantu

SILA BACA TERMA INI DENGAN TELITI SEBELUM MENGAKSES ATAU MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN PEMBANTU. Terma ini terpakai kepada Perkhidmatan Pembantu dan hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada Terma. Akses dan penggunaan anda terhadap Perkhidmatan Pembantu merupakan persetujuan anda untuk terikat dengan terma di sini serta Terma tersebut.

 

1. Perkhidmatan Pembantu membolehkan anda mengatur dan menjadualkan perkhidmatan pemindahan bersama Rakan Penghantar. Melalui Platform kami, anda boleh mengemukakan permintaan agar Rakan Penghantar mengambil barangan yang anda nyatakan untuk tujuan memuat, memunggah, mengalih, mengangkut atau mengangkat.

 

2. Anda mengakui bahawa Lalamove tidak menyediakan perkhidmatan pengangkutan, logistik, pemindahan atau bertindak sebagai pengangkut pemindahan. Semua perkhidmatan pengangkutan, logistik dan pemindahan adalah tertakluk kepada perjanjian kontrak antara anda dan Rakan Penghantar, dan anda bersetuju bahawa Lalamove tidak mempunyai sebarang tanggungjawab atau liabiliti terhadap anda berkaitan dengan sebarang perkhidmatan pemindahan yang disediakan oleh Rakan Penghantar melalui penggunaan Perkhidmatan Pembantu, selain daripada yang dinyatakan secara jelas dalam terma ini.

 

3. Lalamove tidak menjamin prestasi Rakan Penghantar. Dengan menggunakan Perkhidmatan Pembantu, anda mengakui bahawa penggunaan Rakan Penghantar yang diatur atau dijadualkan melalui Perkhidmatan Pembantu adalah atas risiko dan pertimbangan anda sendiri. Lalamove tidak akan mempunyai sebarang liabiliti yang timbul daripada atau dalam apa jua cara berkaitan dengan transaksi atau hubungan anda dengan Rakan Penghantar. Lalamove tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan (termasuk kerosakan fizikal, kehilangan hasil, kecederaan peribadi, kerugian kewangan atau apa-apa kerugian atau kerosakan lain) yang dialami oleh anda atau mana-mana pihak ketiga akibat prestasi Rakan Penghantar semasa menyediakan Perkhidmatan Pembantu.

 

4. Anda menyatakan dan menjamin bahawa anda adalah sama ada pemilik atau ejen yang diberi kuasa oleh pemilik barangan tersebut dan bahawa anda mempunyai semua hak, milikan dan kebenaran untuk memohon serta membenarkan kerja memuat, memunggah, mengalih atau mengangkat mana-mana barangan, dan bahawa pelaksanaan Perkhidmatan Pembantu oleh Rakan Penghantar tidak akan menyebabkan pelanggaran terhadap sebarang hak pemilikan atau privasi pihak ketiga.

 

5. Rakan Penghantar tidak akan membantu membungkus barangan atau mengemas kotak. Anda dijangka memastikan semua barangan telah dibungkus dengan sempurna dan sedia untuk penghantaran sebelum ketibaan Rakan Penghantar. Rakan Penghantar juga tidak menyediakan perkhidmatan pemasangan, pembongkaran atau penyingkiran sebarang peralatan. Lalamove dan Rakan Penghantar tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan (termasuk kerosakan fizikal, kehilangan hasil, kecederaan peribadi, kerugian kewangan atau apa-apa kerugian atau kerosakan lain) yang dialami oleh anda atau mana-mana pihak ketiga akibat pembungkusan yang tidak sempurna.

 

6. Jika anda memerlukan perlindungan tambahan untuk barangan anda atau mempunyai keperluan khas lain, sila berkomunikasi dengan Rakan Penghantar terlebih dahulu. Anda memahami bahawa Rakan Penghantar, atas budi bicara tunggalnya, akan menentukan sama ada untuk menerima keperluan tersebut atau tidak. Jika Rakan Penghantar bersetuju untuk menerima keperluan tersebut, caj tambahan mungkin dikenakan atas budi bicara tunggal Rakan Penghantar. Anda hendaklah memberikan arahan atau pesanan yang mencukupi, tepat dan boleh dilaksanakan kepada Rakan Penghantar. Sebarang kos tambahan yang timbul akibat perbezaan antara maklumat yang anda berikan dan keadaan sebenar hendaklah ditanggung oleh anda.

 

7. Jika anda tidak memilih Perkhidmatan Pembantu semasa membuat pesanan, ia adalah tertakluk kepada budi bicara Rakan Penghantar sama ada untuk meneruskan pesanan tersebut atau meminta anda membatalkan pesanan. Sila ambil maklum bahawa semua klausa di atas adalah terpakai sekiranya Rakan Penghantar memutuskan untuk meneruskan pesanan tersebut.